FLIPPED, sebuah filem yang baru yang bakal menemui penonton sekitar Ogos tahun ini mengingatkan saya pada filem yang saya minati sebelum ini iaitu Little Manhattan ( 2005 ) lakonan pelakon cilik Josh Hutcherson dan Charlie Ray. Berada dalam genre yang sama iaitu romantik komedi, ia turut mengenengahkan isu yang hampir sama iaitu perasaan cinta yang kita pernah alami semasa kecil dulu. Mungkin semasa itu kita tidak mengenali bagaimana perasaan cinta, tetapi emosinya sudah cukup membuat hati kita berdebar - debar.
Namun Flipped dipaparkan dalam latarbelakang zaman yang berbeza, di mana filem ini bercerita tentang kisah remaja di zaman 50 - an disebuah bandar kecil berbanding Little Manhattan yang berlatarbelakangkan zaman moden di bandar Manhattan. Dengan menggunakan slogan "You never forget your first love", filem Flipped pasti membuai anda ke zaman remaja dahulu yang sedang enak dibuai cinta monyet.
Menampilkan bintang - bintang remaja seperti Madeline Carroll dan Callan McAuliffe sebagai watak utama, yang mana kali pertama digandingkan. Manakala Rob Reiner yang sebelum ini pernah mengarah filem The Bucket List ( 2007 ), Rumor Has It... ( 2005 ) dan When Harry Met Sally ( 1989 ), bertindak sebagai sutradara untuk filem Flipped ini. Selain mengarah Rob Reiner turut bertindak sebagai penulis skrip bergandingan dengan Andrew Scheinman.
Serba sedikit mengenai sinopsis filem ini:-
Watak Juli lakonan Madeline dan Bryce lakonan Callan, bertemu untuk kali pertama ketika di gred 2 sekolah. Ketika itu Juli sudah yakin bahawa perasaan suka yang berputik di hati mereka adalah perasaan cinta, namun Bryce tidak pasti adakah ianya cinta.
Tambahan pula Bryce sedikit fobia dengan perempuan dan seorang yang pemalu namun ia masih lagi sukakan pada Juli sehingga 6 tahun lamanya, dan disinilah bermulanya plot utama yang sebenar. Menyingkap kisah suka duka keluarga mereka, ianya tentu serba sedikit akan menggamit hati anda yang menonton.
Dijangka akan ditayangkan di Amerika Syarikat 6 Ogos ini dan sekitar 27 Ogos untuk tayangan antarabangsa. Anda yang sukakan genre romantik komedi tidak seharusnya melepaskan peluang untuk pergi menonton. Untuk maklumat yang lebih lanjut, anda boleh klik pada pautan ini FLIPPED OFFICIAL SITE atau anda boleh klik pada mana – mana imej di dalam post ini.
Dibawah ini disertakan trailer filem dari laman Youtube:-

